Friday, June 12, 2009

INOVASI DI SEKOLAH

Inovasi Di Sekolah : Tinjauan Khusus Terhadap Guru Dan Pelaksanaan Inovasi Kurikulum.

Abstrak

Guru merupakan sumber yang utama dalam sesebuah sekolah. Tanpa seorang guru, sekolah itu akan mati. Justeru, peranan yang dimainkan oleh seorang guru amat penting dalam memajukan sekolah dan mengajarkan anak muridnya sebanyak-banyak mungkin ilmu sebagai persediaan yang mantap untuk bekalan hari kemudian. Masalah yang sering disuarakan oleh pihak pentadbir yang sering kita dengar ialah banyak guru yang hanya melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sekadar apa yang ada sahaja. Kertas ini akan melihat sejauh mana inovasi dilaksanakan, kekuatan kurikulum dalam mempengaruhi inovasi, isu-isu dalam inovasi iaitu merangkumi kesediaan guru dalam mengimplimentasikan inovasi, kekangan dan halangan dalam melaksanakan inovasi pendidikan dan juga faktor sosial yang melingkungi dunia pendidikan itu sendiri. Juga yang ditinjau ialah model dalam melaksanakan inovasi.

PENDAHULUAN

Inovasi berasal dari kata latin, ’innovation’ yang bererti pembaharuan dan perubahan. Kata dasarnya ialah ’inovo’ yang maksudnya memperbaharui dan mengubah. Inovasi adalah suatu perubahan yang baru yang menuju ke arah pembaikan; yang lain atau berbeza dari yang ada sebelumnya, yang dilakukan dengan sengaja dan tidak sengaja (tidak secara kebetulan).

Istilah perubahan dan pembaharuan ada perbezaan dan persamaannya. Perbezaannya, kalau pada pembaharuan, ada unsur kesengajaan. Persamaannya, yakni sama-sama memiliki unsur yang baru atau lain dari sebelumnya. Pembaharuan pendidikan itu sendiri adalah perubahan yang baru dan kualitatif berbeza dari hal (yang sebelumnya) serta sengaja diusahakan untuk meningkatkan kemampuan guna mencapai tujuan tertentu dalam pendidikan.

Ibrahim (1988) mengemukakan bahawa inovasi pendidikan adalah inovasi dalam bidang pendidikan atau inovasi untuk memecahkan masalah pendidikan. Jadi, inovasi pendidikan adalah suatu idea, barang, metode, yang dirasakan atau diamati berbagai hal yang baru bagi hasil seseorang atau kelompok orang (masyarakat), baik berupa hasil inverse (penemuan baru) atau discovery (baru ditemukan orang), yang digunakan untuk mencapai tujuan pendidikan atau untuk memecahkan masalah pendidikan.

Berbalik kepada realiti di sekolah, guru adalah agen paling penting di sekolah kerana guru adalah pelaksana terhadap apa jua inspirasi pemerintah, masyarakat, organisasi dan juga pelajar sendiri. Merujuk kepada inovasi, guru adalah memainkan peranan yang penting dalam pelaksanaan sesuatu inovasi kurikulum. Tanpa penglibatan guru secara aktif, matlamat kurikulum yang dirancang sukar untuk dicapai. Secara umumnya, penglibatan guru dalam proses pelaksanaan inovasi adalah berbcza-beza.

Para pengkaji dalam bidang perkembangan kurikulum (seperti Badaraco & Ellsworth, 1989; Fullan, 1992; Pratt, 1994) telah mengenal pasti beberapa isu yang menjadi halangan dan rintangan dalam perlaksanaan inovasi kurikulum yang berkesan. Antara halangan tersebut adalah sikap sesetengah guru yang sememangnya suka berkonfrontasi dengan pihak sekolah walaupun kemudahan yang diperlukan telah pun dipenuhi oleh pihak pentadbiran sekolah (Badaraco & Ellsworth, 1989). Sementara itu, Fullan dan Miles (1992) berpendapat antara masalah dalam pelaksanaan inovasi adalah kewujudan perasaan bimbang, konflik, rasa tidak tenteram dan kesukaran guru untuk menukar amalan sedia ada kepada amalan yang baru. Slavin (1990) pula mendapati faktor yang menjadi halangan adalah dari segi psikologi seperti ketidakyakinan dalam penggunaan alat-alat yang canggih termasuk alatan elektronik dan juga teknologi komputer dan telekomunikasi. Dembo dan Gibson (1985) dalam dapatan kajian mereka merumuskan bahawa komitmen guru untuk melaksanakan sesuatu inovasi di bilik darjah banyak dipengaruhi oleh persepsi mereka terhadap inovasi itu sendiri.

Persepsi tersebut mempengaruhi sikap dan tingkah laku mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dapatan kajian Akinyemi (1986) pula memaparkan kewujudan perasaan kebimbangan dan ketakutan terhadap perubahan kurikulum yang melibatkan penggunaan teknologi yang diistilahkan sebagai technophobia. Akinyemi mcndapati dalam kajiannya bahawa technophobia di kalangan guru-guru sekolah di Nigeria adalah disebabkan tiga faktor iaitu:

(a) ketakutan kepada media teknologi,

(b) ketakutan kepada peralatan elektronik, dan

(c) takut peranan guru diambil oleh media.

Walaupun terdapat permasalahan dalam pelaksanaan inovasi, sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun dan mempunyai wawasan ke arah mencapai tahap pendidikan bertaraf dunia, negara ini terus memperkenalkan beberapa inovasi kurikulum di sekolah bagi mencapai matlamat tersebut. Antara lain adalah pengajaran Sains dan Maternatik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), Sekolah Bestari, Sekolah Kluster, Smart Lab, Projek Sekolah Vista, Projek School Net dan sebagainya. Namun begitu, banyak rintangan perlu dilalui dari segi pelaksanaannya terutama untuk mendapatkan sokongan dan komitmen guru. Dalam konteks ini, Ross (1998) merumuskan bahawa guru-guru tidak selesa dengan perubahan kerana berpendapat sebarang inovasi yang diperkenalkan terutama yang melibatkan pengajaran akan mengubah peranan mereka dalam kelas.


Kurikulum

Kurikulum pendidikan, lebih sempit lagi kurikulum sekolah meliputi program pengajaran dan peringkatnya merupakan pedoman dalam pelaksanaan pendidikan dan pengajaran di sekolah. Oleh kerana itu, kurikulum sekolah dianggap sebagai bahagian yang tidak dapat dipisahkan dalam proses belajar mengajar di sekolah, sehingga dalam pelaksanaan inovasi pendidikan, kurikulum memegang peranan yang sama dengan unsur- unsur lain dalam pendidikan. Tanpa adanya kurikulum dan tanpa mengikuti program- program yang ada di dalamnya, maka inovasi pendidikan tidak akan berjalan sesuai dengan tujuan inovasi itu sendiri. Oleh kerana itu, dalam pembaharuan pendidikan, perubahan itu hendaknya sesuai dengan perubahan kurikulum atau perubahan kurikulum diikuti dengan pembaharuan pendidikan dan tidak mustahil perubahan dari kedua-duanya akan berjalan searah. Kurikulum dalam erti yang luas adalah yang meliputi seluruh program dan kehidupan dalam sekolah. Kurikulum sekolah dapat dipandang sebagai bahagian dari kehidupan. Oleh kerana itu, kurikulum amat berpengaruh kepada maju mundurnya pendidikan kerana kurikulum adalah tunjang dalam sistem pendidikan itu sendiri. Apabila kita mengadakan suatu inovasi dalam pendidikan, kita harus memperhatikan kurikulum yang sudah dirumuskan. Kalau pendidikan diperbaharui, maka sudah barang tentu (otomatis) kurikulumnya pun harus berubah. Kita tidak boleh mengadakan pembaharuan tanpa perubahan pada kurikulum.

Kurikulum pendidikan perlu berubah tetapi tidak boleh terlalu banyak perubahan kerana ianya akan hanya menghasilkan kegagalan dalam tempoh jangka panjang. Perubahan mendadak akan menyebabkan pelajar yang akan menjadi mangsa. Kuasa dan hak juga perlu digariskan dengan lebih jelas umpamanya di antara PIBG, tenaga pengajar, kakitangan, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran serta orang awam. Jika hak ini hanya dibuat di atas kertas tanpa penerangan yang jelas kepada semua pihak yang disebutkan lebih-lebih lagi orang awam dan ibubapa, pastinya banyak masalah yang akan timbul termasuklah isu perkauman, perundangan, perbezaan tahap/diskriminasi dan politik. Kebelakangan ini, kita rasa ganjil mendengar 'kriteria kelayakan' bagi memilih peneraju umpamanya barisan pemimpin PIBG yang terdiri dari mereka yang mempunyai 'pengaruh' (politik biasanya) di mana ini adalah sesuatu yang kurang menepati prosedur pemilihan dan standard. Standard inilah yang sering digunapakai dalam melakukan perubahan dalam kurikulum oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK). Namun kadang kala akibat keegoan pegawai-pegawai PPK sendiri menyebabkan berlakunya konflik dalam pelaksanaan kurikulum yang baru dilancarkan hingga menimbulkan ketidakpuasan hati agen pelaksana, penulis asal dan lain-lain pihak yang berkaitan.

Tujuan Inovasi Pendidikan

Menurut santoso (1974), tujuan utama inovasi, yakni meningkatkan sumber-sumber tenaga, wang dan kemudahan termasuk struktur dan prosedur organisasi. Tujuan inovasi pendidikan adalah meningkatkan efisiensi, relevansi, kualiti dan keefektifan kemudahan serta jumlah peserta didik sebanyak-banyaknya dengan hasil pendidikan sebesar-besarnya (menurut kriteria keperluan anak-anak didik, masyarakat dan pembangunan) dengan menggunakan sumber, tenaga, wang, alat dan waktu dalam jumlah yang sekecil-kecilnya. Pendidikan kita dewasa ini menghadapi berbagai halangan dan persoalan. Adapun masalah-masalah yang menuntut diadakan inovasi di Malaysia amnya, iaitu :

1. Tuntutan masyarakat yang semakin terdedah dengan informasi dunia tanpa sempadan menyebabkan masyarakat meminta lebih daripada apa yang disajikan di hadapan mereka. Masyarakat tidak lagi dapat menerima anak-anak mereka hanya menerima kaedah dan kandungan pelajaran yang sama dari dulu hingga kini tanpa perubahan. Kehendak masyarakat semakin kritikal. Mereka akan membandingkan pendidikan dalam negara dan luar negara kerana akses yang mudah untuk didapati.

2. Berkembangnya ilmu pengetahuan yang moden menghendaki dasar-dasar pendidikan yang kukuh dan penguasaan kemampuan terus menerus dan dengan demikian menuntut pendidikan yang lebih lama sesuai dengan konsep pendidikan seumur hidup (long education).

3. Berkembangnya tekhnologi yang mempermudah manusia dalam menguasai dan memanfaatkan alam dan lingkungannya, tetapi yang sering kali ditangani sebagai suatu ancaman terhadap kelestarian peranan manusiawi.

4. Keperluan untuk memajukan pendidikan negara adalah juga kerana kita perlu berubah untuk menjimatkan wang, masa dan tenaga dalam melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap negara dan juga dalam menyediakan generasi yang akan datang yang mantap dan berkemahiran tinggi dan juga berpengetahuan tinggi serta dapat dihormati.

Kalau dikaji, arah tujuan inovasi pendidikan terdapat tahap demi tahap, iaitu :

1. Mengejar ketinggalan-ketinggalan yang dihasilkan oleh kemajuan-kemajuan ilmu dan teknologi sehingga makin lama pendidikan di Malaysia semakin berjalan sejajar dengan kemajuan-kemajuan tersebut.

2. Mengusahakan terselenggarakannya pendidikan dalam sekolah mahupun luar sekolah bagi setiap warga negara, misalnya meningkatkan daya tampung usia sekolah sama ada sekolah rendah ataupun menengah dan IPT.

Di samping itu, akan diusahakan peningkatan mutu yang dirasakan makin menurun dewasa ini. Dengan sistem penyampaian yang baru, diharapkan peserta didik menjadi manusia yang aktif, kreatif dan terampil memecahkan masalahnya sendiri.

Model-model inovasi.

Dalam inovasi pendidikan, secara umum dapat diberikan dua buah model inovasi yang biasa digunapakai iaitu pertama, "top-down model" iaitu inovasi pendidikan yang diciptakan oleh pihak tertentu sebagai pimpinan/atasan yang diterapkan kepada bawahan; seperti halnya inovasi pendidikan yang dilakukan oleh jabatan-jabatan kerajaan dan tidak terkecuali, Kementerian Pelajaran selama ini. Kedua "bottom-up model" iaitu model inovasi yang bersumber dan hasil ciptaan dari bawah dan dilaksanakan sebagai upaya untuk meningkatkan penyelenggaraan dan mutu pendidikan.

Pelaksanaaan inovasi pendidikan seperti inovasi kurikulum tidak dapat dipisahkan dari inovator dan pelaksana inovasi itu sendiri. Inovasi pendidikan seperti yang dilakukan di Kementerian Pelajaran misalnya oleh jabatan atau unit-unit seperti PPK, BTP, Bahagian Buku Teks dan lain-lain cenderung merupakan "Top-Down Inovation". Inovasi ini sengaja diciptakan oleh atasan sebagai usaha untuk meningkatkan mutu pendidikan atau pemerataan kesempatan untuk memperoleh pendidikan, ataupun sebagai usaha untuk meningkatkan efisiensi dan sebagainya. Inovasi seperti ini dilakukan dan diterapkan kepada bawahan dengan cara mengajak, menganjurkan dan bahkan memaksakan apa yang menurut pencipta itu baik untuk kepentingan bawahannya. Dan bawahan tidak punya autoriti untuk menolak perlaksanaannya.

Ada inovasi yang juga dilakukan oleh guru-guru, yang disebut dengan "Bottom-Up Innovation". Model yang kedua ini akan dapat kita lihat di sekolah-sekolah dan kadang kala tidak ditonjolkan kerana pihak atasan hanya mengarahkan melakukan sesuatu yang berinovatif namun pengiktirafan dan usaha mengangkat inovasi peringkat sekolah ke peringkat lebih tinggi agak kurang dilakukan. Antara inovasi yang biasa dilakukan oleh guru-guru dalam bidang kurikulum ialah dari segi metode P&P dan juga perisian yang dibangunkan sendiri tambahan letusan ICT yang membolehkan guru mencipta sesuatu yang baru dalam penyampaian P&P mereka.

Untuk memastikan keberhasilan inovasi itu perlulah adanya perencanaan yang matang. Ibrahim (1988) mengungkapkan elemen-elemen pokok dalam proses perancangan inovasi iaitu:

(a) merumuskan tujuan umum dan tujuan khusus inovasi,

(b) mengidentifikasi masalah,

(c) menentukan keperluan,

(d) mengidentifikasi sumber sama ada dalaman atau luaran

(e) menentukan alternatif kegiatan,

(f) menemukan alternatif pemecahan masalah,

(g) menentukan alternatif pendayagunaan sumber daya yang ada,

(h) menentukan kriteria untuk memilih alternatif pemecahan masalah,

(i) menentukan alternatif pengambilan keputusan, dan

(j) menentukan kriteria untuk menilai hasil inovasi.

Isu-Isu dalam Pelaksanaan Inovasi Kurikulum

Terdapat pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi di sekolah bagi pelaksanaan inovasi kurikulum yang berkesan. Latar belakang demografi guru yang berbeza, lokasi sekolah, keupayaan dan kemampuan guru dari segi motivasi, sikap, pengetahuan dan kemahiran menentukan tahap kesediaan guru melaksanakan inovasi itu sendiri.

Motivasi Guru

Motivasi guru merupakan pembolehubah yang menjadi isu penting dalam pelaksanaan inovasi di sekolah. Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa motivasi guru mempunyai hubungan yang signifikan dengan tingkahlaku mereka dalam pelaksanaan inovasi dan tugas-tugas guru secara umumnya. Antara lain adalah kajian oleh Hargreaves (1994), Heneman (1998), dan Hurst (1983). Hargreaves (1994) dalam rumusan kajiannya mencadangkan sekiranya guru mempunyai tahap motivasi yang tinggi, hasil kerja mereka akan meningkat, pelaksanaan tugas menjadi cekap dan mereka bertindakbalas secara berkesan dalam melakukan tugas-tugas yang diamanahkan. Sementara itu Jaafar Muhamed dan rakan-rakan (2001) menyatakan motivasi adalah faktor utama untuk menggerakkan seseorang kakitangan untuk melaksanakan dan menyempurnakan tugas dengan berkesan. Kakitangan bermotivasi dikatakan lebih berdaya saing, kreatif, positif, komited terhadap tugas dan menumpukan perhatian terhadap pencapaian matlamat. Selain itu, kakitangan bermotivasi tinggi ada1ah pendorong yang memungkinkan mereka dapat menghasilkan idea bernas dan sentiasa bersedia membantu organisasi mereka, Persoalannya, adakah guru-guru mempunyai tahap motivasi yang membanggakan? Pandangan umum memperihalkan kebanyakan guru berasa kurang selesa terhadap pengenalan sesuatu inovasi di sekolah kerana bimbang bahawa perubahan itu akan mengganggu keselesaan dan menjejaskan tugas serta peranan mereka samaada secara langsung atau tidak langsung terutama berkaitan proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut McCormick dan James (1983), pertambahan tugas guru ekoran pengenalan sesuatu inovasi akan membangkitkan tekanan emosi di kalangan guru. Gangguan emosi dan tahap tekanan yang tinggi di sebabkan ketidakupayaan mereka untuk berdaya tindak ke atas perkara tersebut. Beliau berpendapat sekiranya tekanan berlaku secara berterusan, motivasi kerja guru terjejas dan kemungkinan hubungan guru dengan murid dan sesama guru akan menjadi renggang, Ini mungkin menjejaskan tahap perkembangan diri guru itu dan keberkesanan guru dalam melaksanakan tugas. Di samping itu, Klein (1976) berpandangan guru yang rendah tahap motivasinya akan menentang sesuatu inovasi disebabkan perasaan rendah diri dan rasa tersisih di sekolah, Keadaan sedemikian antara lain berpunca daripada sikap pihak pentadbir sekolah sendiri yang seringkali mengabaikan mereka dan tidak pernah meminta pandangan guru berkaitan pelaksanaan sesuatu inovasi. Dalam erti kata lain, bagi memastikan pelaksanaan inovasi yang berkesan, motivasi dikatakan sebagai "pusat kawalan" kepada emosi dan dorongan seseorang guru untuk melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh. Tahap motivasi guru mempengaruhi ketekunan dan komitmen mereka dan menentukan kebolehan guru untuk menyumbang secara berkesan dalam pelaksanaan inovasi.

Sikap Guru

Isu kedua yang mencorakkan pelaksanaan inovasi kurikulum di sekolah melibatkan sikap guru. Omar Hashim (1991) dalam mengulas sikap guru dalam pelaksanaan inovasi merumuskan beberapa faktor yang menghalang penglibatan guru secara aktif:

Faktor inersia: Guru-guru sudah berasa selesa dan berpuashati dengan apa yang sedang dialami, justeru itu mereka tidak ingin berubah.(confort zone)

Rasa terancam: Setiap kali perubahan berlaku, individu guru berasa terancam dan kurang selamat. Perkara ini biasanya timbul kerana sikap guru yang tidak yakin untuk melakukan sesuatu yang baru.

Masa dan kemudahan: Ramai guru yang berselindung di sebalik rungutan bahawa mereka tidak cukup masa dan tiada kemudahan bagi menjustifikasikan alasan mereka untuk mengelakkan diri dari terlibat dalam pelaksanaan sesuatu inovasi. Banyak kajian yang memperjelaskan wujudnya perkaitan antara sikap guru dengan amalan mereka dalam pelaksanaan inovasi dan juga dalam pelaksanaan tugas-tugas rutin. Antara lain kajian oleh Liberman dan Miller (1999) dan Moriarty et al. (2001), di mana dapatan kajian mereka secara umumnya mencadangkan sikap guru dikatakan menjadi asas pertimbangan oleh kebanyakan guru dalam menyaring dan mentafsirkan segala bentuk inovasi terutama berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran. Richardson (1996) dalam mengulas fenomena sikap guru tersebut menyatakan secara umumnya guru hanya akan menerima inovasi sekiranya perkara tersebut serasi dengan epistemologi sikap mereka. lni kerana guru mempunyai sikap dan kepercayaan tersendiri terhadap amalan yang dilakukan dalam pengajaran dan pembelajaran. Seperti yang diungkapkan oleh Johnson (1992) dan juga Ghaith dan Yaghi (1997), kebiasaannya guru-guru akan membuat refleksi dan "menoleh ke belakang" sekiranya terdapat idea atau cadangan untuk memperkenalkan sesuatu inovasi di sekolah kerana mereka menimbang pengalaman-pengalaman yang telah dilalui. Tobin dan McRobbie (1996) berpendapat sikap guru perlu dikenal pasti dan dianalisis bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan inovasi. Menurut beliau, sebagai seorang manusia kebiasaannya guru akan memberi reaksi tertentu terhadap sesuatu perkara baru berdasarkan tanggapan dan pandangan dunia (world view) yang berbeza-beza. Justeru itu, apa bentuk reaksi tersebut akan memberi implikasi tersendiri terhadap proses pelaksanaan inovasi. Little (1990) pula menyatakan bahawa guru yang bersikap positif terhadap tugas akan mempengaruhi keberkesanan pelaksanaan sesuatu inovasi. Pada pendapat Little, sikap positif akan mendorong kesediaan guru untuk mempelajari perkara baru berkaitan inovasi tersebut. Sebaliknya, jika guru bersikap negatif, pelaksanaan inovasi akan tersekat dan menjejaskan matlamat yang ditentukan. Sebagai kesimpulan, sikap guru terhadap inovasi ada1ah asas penting bagi membuat justifikasi dan juga penghakiman samaada mereka dapat menerima atau tidak sesuatu inovasi. Kesan yang mungkin lebih ketara adalah sikap yang menjadi pegangan guru akan menjadi suatu metos yang sukar untuk diubah. Seandainya ini berlaku, ia akan memberi kesan yang besar dalam keberkesanan pelaksanaan dan juga pencapaian matlamat-matlamat kurikulum.

Pengetahuan dan Kemahiran Guru

Menurut Brown dan McIntyre (1993), aspek pengetahuan dan kemahiran adalah penting dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan inovasi. Ini disebabkan penguasaan guru dalam aspek tersebut memandu mereka untuk melaksanakan tugas dengan berkesan. Wiles dan Bondi (1998) pula berpandangan tanpa pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi akan menjejaskan tahap kesediaan guru untuk melaksanakan sesuatu inovasi. Sehubungan dengan itu be1iau mencadangkan guru perlu memiliki dan menguasai kedua-dua aspek tersebut terutama dari segi pemahaman ilmu yang jelas; keupayaan menterjemahkan ilmu pengetahuan dalam proses pengajaran dan pembelajaran; dan kesungguhan untuk bertindak seeara proaktif berasaskan pengetahuan dan kemahiran; dan keupayaan untuk memanifestasikan pengetahuan dan kemahiran dalam bentuk tingkahlaku bagi membolehkan guru mempraktikkannya da1am bilik darjah. Bagi perlaksanaan inovasi yang berkesan juga, guru perlu mengetahui kemahiran tertentu yang berkaitan kemahiran profesional (Brown & Mclntyre, 1993), kemahiran dan juga pengetahuan berkaitan amalan pengajaran (Carter, 1990), kemahiran dalam pelbagai strategi pengajaran (Van Driel et al., 1999) dan juga pengetahuan berkaitan aspek kandungan bagi mata pelajaran yang diajar (Cochran et al., 1993). Pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki seseorang guru menjadi salah satu faktor penting dalam membuat justifikasi terhadap keupayaan dan kemampuannya melaksanakan inovasi serta menangani cabaran-cabaran tugas yang berkaitan dengannya.

Tumpuan Guru

Isu keempat adalah berkaitan dengan aspek tumpuan guru. Isu ini memberi pengertian bahawa seseorang guru mempunyai tahap tumpuan yang berbeza-beza dalam menerima dan melaksanakan inovasi kurikulum. Dalam konteks ini, teori-teori yang berkaitan dengannya mengandaikan seseorang guru mempunyai tahap perkembangan diri yang berlainan dan perbezaan tersebut memberikan implikasi kepada kesediaan mereka melaksanakan inovasi itu sendiri (Fuller, 1975; Hall & Loucks, 1978). Fuller (1975) yang dianggap sebagai "pelopor" da1am teori tahap perkembangan guru te1ah mengklasifikasikan urutan tumpuan kepada tiga peringkat iaitu: (a) Tahap Tumpuan Peribadi (b) Tahap Tumpuan Tugas dan (c) Tahap Tumpuan Kesan. Dalam perinciannya, Fuller memperjelaskan setiap tahap tumpuan tersebut sebagai berikut:

• Tahap Tumpuan Peribadi

Tahap ini dikenal pasti sebagai tahap survival. Menurut Fuller, guru pada tahap tumpuan ini sentiasa merasakan diri mereka terancam dan kurang selamat kerana merasakan diri mereka mempunyai kelemahan dan kekurangan terutama dari segi keyakinan diri, kemahiran dan juga pengetahuan. Persoalan yang selalu difikirkan adalah berkaitan bentuk penampilan guru yang dapat diterima murid dalam kelas dan juga bagaimana untuk mengetahui kehendak dan keperluan pihak pentadbiran sekolah. Justeru itu, pada tahap ini, agak sukar bagi guru untuk menerima dan melaksanakan sesuatau inovasi kerana keadaan psiko1ogi mereka yang "kurang stabil",

• Tahap Tumpuan Tugas

Fuller menyatakan, pada tahap ini guru agak stabil dari segi emosi, justeru itu, mereka berfikir bagaimana untuk melaksanakan sesuatu tugas dengan baik seperti penyediaan bahan pengajaran, bekerjasama dengan rakan setugas dan agak bersedia menerima dan juga mempe1ajari mak1umat baru berkaitan tugas mereka. Pada tahap ini, guru agak bersedia untuk melaksanakan sesuatu inovasi sekiranya diperlukan.

• Tahap Tumpuan Kesan

Pada tahap ini guru memikirkan apakah implikasi pengajaran dan juga inovasi yang dilaksanakan terhadap pelajar mereka. Guru prihatin mengenai kewajaran mengap1ikasikan apa yang diajar dalam kelas dari segi manfaatnya kepada pelajar, guru sendiri dan masyarakat. Ini bermakna guru pada tahap tumpuan ini lebih kritis dalam melihat rasional di sebalik pe1aksanaan sesuatu inovasi tersebut. Sementara itu, Hall dan Loucks (1978) te1ah mengaplikasikan model Mengatasi Rintangan Perubahan bagi menentukan bagaimanakah po1a tumpuan guru terhadap pelaksanaan inovasi. Model tersebut mengandaikan guru mesti berubah terlebih dahulu sebelum sesuatu inovasi di1aksanakan. Hall dan Loucks telah mengklasifikasikan tumpuan guru kepada empat kategori iaitu: (a) Tumpuan Tiada Berkaitan (b) Tumpuan Berkaitan Peribadi (c) Tumpuan Berkaitan Tugas dan (d) Tumpuan Berkaitan Kesan. Perincian bagi setiap kategori tersebut oleh Hall dan Loucks adalah seperti berikut:

· Tumpuan Tiada Berkaitan

Guru pada tahap tumpuan ini tidak memberikan tumpuan sewajarnya terhadap pelaksanaan inovasi kerana kemungkinan kurang mendapat maklumat yang berkaitan. Inovasi dianggap tidak membawa apa-apa makna kepada diri mereka. Justeru itu, mereka bersikap tidak mahu mengambil tahu.

·Tumpuan Berkaitan Peribadi

Pada tahap ini, guru memikirkan mengenai kemampuan dan kesediaan diri untuk melaksanakan sesuatu inovasi. Pertimbangan mereka tertumpu kepada persoalan apakah mereka berkemampuan dari segi kemahiran, kecekapan, pengetahuan dan pengalaman. Juga difokuskan persoalan berkaitan "zon keselesaan" yang mungkin akan menjejaskan mereka seperti soal penggunaan masa, persoalan keluarga, waktu untuk kesenggangan diri dan seumpamanya. Dalam erti kata lain, tumpuan guru adalah terhadap selfsurvival.

·Tumpuan Berkaitan Tugas

Tumpuan guru pada kategori ini adalah bagaimana untuk melaksanakan suatu inovasi dengan lebih cekap. Guru memberi tumpuan kepada usaha penambahbaikan dari segi kecekapan pengajaran, termasuk aspek berkaitan penyediaan bahan kurikulum yang lebih menarik, penggunaan media pengajaran yang inovatif dan kreatif, berusaha untuk menarik minat pelajar dan mewujudkan hubungan interpersonal yang efektif dan harmonis di kalangan rakan setugas.

· Tumpuan Berkaitan Kesan

Bagi Hall dan Loucks, pada kategori tumpuan ini, guru sudah mempunyai tahap keyakinan tinggi dalam pelaksanaan tugas. Pertimbangan guru lebih berfokus kepada persoalan bagaimanakah sesuatu inovasi dapat memberikan impak yang lebih jelas kepada pelajar. Mereka memikirkan apakah yang pelajar perolehi hasil pelaksanaan inovasi itu sendiri dari segi kebolehlaksanaannya dalam kehidupan sebenar di luar bilik darjah. Pada pendapat Hall dan Loucks, untuk pelaksanaan inovasi kurikulum yang berkesan, seseorang guru perlu berada sekurang-kurangnya pada kategori tumpuan kedua iaitu Tumpuan Berkaitan Peribadi. Jika guru masih pada tahap Tumpuan Tiada Berkaitan, pelaksanaan inovasi akan menghadapi masalah kerana guru akan melaksanakannya mengikut persepsi dan pentafsiran mereka sendiri.

Sosial Masyarakat

Dalam menerapkan inovasi pendidikan, ada hal yang tidak secara langsung terlibat dalam perubahan tersebut tapi akan memberikan impak, sama ada positif mahupun negatif, dalam pelaksanaan pembaharuan pendidikan. Masyarakat secara langsung atau tidak langsung, sengaja mahupun tidak, terlibat dalam pendidikan. Ini adalah kerana, apa yang ingin dilakukan dalam pendidikan sebenarnya mengubah masyarakat menjadi lebih baik terutama masyarakat di mana mereka itu berasal. Tanpa melibatkan masyarakat sekitarnya, inovasi pendidikan tentu akan terganggu, bahkan akan merosakkan apabila mereka tidak diberitahu atau dilibatkan. Keterlibatan masyarakat dalam inovasi pendidikan sebaliknya akan membantu inovator dan pelaksana inovasi dalam melaksanakan inovasi pendidikan. Perkara ini telah dan sentiasa berlaku dalam sistem kita sekarang ini kerana masyarakat yang semakin terdedah kepada maklumat, menyebabkan akses kepada persekitaran dan isu semasa menyebabkan masyarakat semakin kritis. Isu sepert PPSMI adalah contoh terbaik kerana perubahan yang dilakukan tanpa persetujuan masyarakat menyebabkan masyarakat menyuarakan bantahan dan memungkinkan kegagalan dalam perubahan dan inovasi yang sedang berjalan. Masyarakat juga semakin berani untuk menyuarakan kandungan kurikulum yang tidak sesuai dengan norma masyarakat. Justeru, faktor ini perlu diambil kira dalam melaksana sesuatu inovasi kurikulum.

Rumusan

Ketika menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Bin Ahmad Badawi (sekarang mantan perdana menteri bergelar Tun) telah mengatakan bahawa Malaysia hendak dijadikan sebuah negara yang kreatif, inovatif, dan bernilai tinggi. Kunci kepada kreativiti adalah minda merdeka. Sementara untuk inovasi, yang perlu ada ialah minda berfikiran songsang. Sementara bernilai tinggi pula menuntut minda berdisiplin dengan memihak kepada fakta dan rasional. Hanya dengan kreativiti, seseorang guru akan dapat melakukan pelbagai inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran. Istilah ini merujuk kepada pembaharuan atau mencipta sesuatu yang berbeza daripada binaan yang sedia ada. Kalau renovation itu bermaksud membina semula, inovasi bermaksud membina yang baru di atas asas yang ada. Walaupun inovasi seringkali dirujukkan kepada ciptaan dan proses, ia juga boleh digunakan untuk pelbagai perkara termasuk sistem, idea atau gagasan. Kunci kepada inovasi ialah mencabar perkara yang ada. Dalam melaksanakan inovasi, seseorang guru harus berani berfikiran songsang, bersikap kritis tetapi akhirnya membina perkara baru yang lebih baik. Inovasi tidak bersifat menghancurkan. Maka, untuk menggalakkan inovasi dalam pendidikan, guru bukan sahaja harus berani mengkritik tetapi lebih penting bersedia untuk dikritik, serta menjawab kembali, mendapatkan kompromi yang akhirnya melahirkan sesuatu yang lebih baik dalam aktiviti pendidikan. Kedua-dua kreativiti dan inovasi boleh mendorong kepada menghasilkan sesuatu yang bernilai tinggi. Menurut Zimmerer dan Scarborough (1996) dan Barjoyai (2000), manusia yang kreatif dan inovatif mampu untuk menghasilkan sesuatu yang baru atau menukarkan sesuatu yang sedia ada ke dalam bentuk baru yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat. Dalam menghasilkan sesuatu inovasi di sekolah, peranan pengurus sekolah iaitu Pengetua dan Guru Besar adalah sangat penting. Di sekolah, kreativiti seseorang pengetua dan Guru Besar itulah yang membezakan antara sekolah mereka dengan sekolah lain. Pengetua dan Guru Besar perlu selalu melahirkan idea-idea baru selain merujuk kepada beberapa sumber yang berlainan bagi mendapatkan maklumat. Mereka juga perlu sentiasa berfikir untuk melakukan sesuatu dengan cara yang baru dan luar biasa daripada melakukan perkara yang sama dalam pengurusan sekolah. Pengetua dan Guru Besar perlu berfikir secara inovatif dalam mengemukakan cadangan penambahbaikan untuk kepentingan sekolah. Selain sentiasa memikirkan cara untuk mengubahsuai iklim sekolah kepada sebuah institusi yang lebih mesra komuniti dan cemerlang, para Pengetua dan Guru Besar perlu sentiasa melihat kehidupan penuh dengan peluang. Bagi mereka, peluang-peluang yang ada dalam profesion pendidikan perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Mereka perlu sentiasa berfikir untuk melaksanakan sesuatu perancangan yang dibuat dengan cara yang pelbagai. Mereka harus memanfaatkan kreativiti dan daya inovasi yang dianugerahkan Pencipta dengan menjadikan bahan buangan kepada sesuatu yang lebih bermakna. Buah fikiran mereka yang kreatif adalah penting dalam mencorakkan kejayaan sekolah yang dipimpin. Tetapi untuk mendapatkan produk atau proses yang bernilai tinggi, apa yang juga diperlukan adalah disiplin. Bukan saja disiplin bekerja untuk memantapkan dan memanfaatkan hasil kreativiti dan inovasi itu, tetapi juga penting adalah disiplin berfikir, yang meliputi kaedah rasional dan logik. Dua negara yang boleh dijadikan contoh berhubung dengan mengeluarkan produk bernilai tinggi yang didokong dengan disiplin untuknya ialah Jerman dan Jepun. Mereka mengutamakan isi daripada kulit. Teliti, tepat dan terperinci. Mampukah kita melakukannya?